Lebih RM100 bilion anggaran kerugian industri pelancongan negara pada tahun ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kerugian tersebut adalah kesan dari pandemik Covid-19 yang menyebabkan aktiviti ekonomi berkaitan industri pelancongan seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara terpaksa berhadapan dengan saat paling menyulitkan.
“Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran besar yang dihadapi oleh penggiat industri, majikan dan pekerja industri pelancongan.
“Kita faham, pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan negara.
“Malah, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang berlangsung secara maya, hari ini.
Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut meramalkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk memulihkan semula industri pelancongan ini.
“Ini adalah tempoh yang agak panjang dan pastinya memberikan cabaran yang besar kepada semua pihak terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, di sebalik usaha menamatkan wabak Covid-19 ini, peluang masih terbuka untuk industri dan kerajaan memperbaiki kelemahan yang ada melalui peningkatan kualiti perkhidmatan serta mutu penyampaian.
Katanya, usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi yang canggih dan fleksibel seperti penggunaan konferensi video dan transaksi tanpa sentuhan.
“Ia membolehkan kita membudayakan norma baharu tanpa menjejaskan potensi industri pelancongan.
“Saya percaya di peringkat awal ini kita boleh menjana semula industri pelancongan negara dengan merancakkan aktiviti pelancongan domestik, sementara sempadan masih ditutup dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong di dalam negara,” katanya.
Sumber: Malaysiapost