JOHOR BAHRU: Industri penggambaran tempatan telah berjaya menarik kemasukan pelaburan bernilai lebih RM1.02 billion daripada produksi penggambaran luar negara, tahun ini.
Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil berkata, hal itu menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan produksi luar ekoran daya tarikan unik di peringkat antarabangsa.
“Setakat tahun ini, kita sudah dapat persetujuan pelaburan sektor penggambaran di Malaysia, dimana lebih RM1.02 bilion dan semua produksi yang dimaksudkan ini melihat Malaysia ada daya tarikan atau keistimewaan tersendiri.
“Kementerian khususnya Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) ada beberapa strategi seperti bagaimana FIMI (Insentif Penerbitan Filem di Malaysia) boleh dimantapkan untuk tarik lebih banyak produksi luar ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Johor, di Taman Pelangi, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin.
Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, kemasukan produksi penggambaran luar ke negara ini bagi tujun penggambaran bakal memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
“Setiap produksi yang datang ini, mereka membawa masuk pelaburan, dimana setiap RM1 dibawa masuk boleh didarabkan dengan 3.43 kali ganda. Ini bermakna ia membawa kesan kepada ekonomi tempatan itu adalah RM3.43.
“Bila produksi luar datang, sudah pasti mereka perlu tempah tempat penginapan, katering dan mesti ada tenaga kerja atau ‘extra’ yang menggunakan warga tempatan.
“Malahan pengalaman yang ditimba itu juga dapat membantu memajukan lagi industri penggambaran kita ini,” jelasnya.
Penggerak Daily