Oleh: Editorial Penggerak Daily
Pelan pemulihan sektor pelancongan dan kebudayaan melalui kempen pelancongan domestik yang bermula sejak Jun lepas kini telah mula menampakkan perkembangan positif, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.
Malah, katanya, kementerian itu juga baharu sahaja melancarkan kempen Cuti-Cuti Kuala Lumpur bagi memberi fokus kepada menggalakkan rakyat tempatan melancong ke ibu negara.
“Industri pelancongan dan kebudayaan adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, dengan menyumbang 15.5 peratus kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Pada 2019, pendapatan industri pelancongan meningkat kepada RM86.1 bilion, berbanding 84.1 pada 2018.
“Namun, selepas PKP, sektor tersebut terkesan dan telah memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika hadir pada Malam Puisi Perdana Hari Malaysia Bersama Kerabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Wisma MPM di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, jelasnya, wabak COVID-19 yang melanda tidak hanya mendatangkan keburukan, tetapi juga dilihat sebagai titik peluang kepada rakyat negara ini untuk membangunkan kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan masing-masing dengan kaedah teknologi baharu.
“Sebagai contoh, penganjuran festival Malaysia di luar negara boleh dilaksanakan bersama rakan strategik di luar negara tanpa memerlukan kehadiran fizikal delegasi daripada Malaysia,” katanya.
PenggerakDaily