Oleh: Editorial Penggerak Daily
Polis Daerah Penampang terkesan satu mesej tular menerusi platform media sosial dan aplikasi whatsapp mengenai kompaun yang dikenakan terhadap individu yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Penampang.
Menerusi mesej yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan ‘saman dalam kereta dua (2) penumpang tapi tidak jaga jarak.. rupanya kalau dua orang dalam kereta penumpang kena duduk di belakang tepi bukan di depan atau belakang pemandu, start sdh kena kuatkuasakan ni’
Oleh demikian, IPD Penampang menerusi kenyataan media menegaskan bahawa info yang terkandung di dalam mesej yang ditularkan adalah tidak tepat dan tidak mempunyai kaitan dengan imej kompaun tersebut.
Imej kompaun yang dikeluarkan oleh IPD Penampang adalah berkaitan dengan kesalahan yang dikenakan terhadap tiga (3) individu yang menaiki sebuah kenderaan dari satu lokasi yang ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Penampang -Papar pada 16 Oktober 2020 dan ianya adalah satu kesalahan kerana tidak patuh kepada SOP PKPB yang dikeluarkan iaitu hanya dua (2) sahaja dibenarkan dalam kenderaan.
Ketiga -tiga Individu tersebut telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Penularan imej dan mesej tidak tepat tersebut merupakan satu tindakan tidak betanggungjawab dan telah mencemarkan imej pasukan polis khususnya IPD Penampang.
Pihak polis amat memandang berat perihal ini dan memberikan amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan info palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat. Individu yang ingkar bakal behadapan dengan tindakan undang-undang.
PenggerakDaily