JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan inisiatif ‘Payung Rahmah’ bagi mengurangkan beban sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksana dengan kerjasama beberapa kementerian antaranya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Menurut beliau, perkara itu akan dimainkan secara lebih terperinci, Selasa depan.
“Inisiatif Payung Rahmah ini merupakan fokus dan matlamat ditetapkan KPDN untuk enam bulan pertama menerusi pelan strategi jangka pendek.
“Antara intipati program termasuklah pemberian bakul makanan, Jualan Murah Rahmah Kasih Sayang dan Cafe Rahmah untuk pelajar universiti.
“Ia akan menyentuh golongan B40 dan miskin tegar yang sekiranya tidak ditangani dengan teliti, kita bimbang keadaan ekonomi global yang semakin teruk akan menyebabkan mereka lebih terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen P161 Pulai, di sini malam semalam.
Seramai lebih 1,000 petugas Pakatan Harapan (PH) yang terlibat sepanjang tempoh berkempen bagi Parlimen Pulai semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Sementara itu, berhubung sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, Salahuddin memberitahu kerajaan akan melaksanakan skim kawalan harga yang akan diumumkan minggu depan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menjadikan pelitup muka sebagai barangan kawalan ekoran pembukaan sempadan antarabangsa China yang dijangka akan mengakibatkan ramai pelancong negara berkenaan berkunjung ke Malaysia.
“Setakat mensyuarat kabinet Rabu lalu, kita fokus mempertingkat tahap keselamatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga sama dengan tiada kompromi dan kecuaian.
“Namun begitu, belum ada keputusan rasmi tentang sama ada pelitup muka akan dimasukkan dalam senarai barangan terkawal, ia bergantung kepada keperluan semasa sebelum kita membuat sebarang keputusan,” jelasnya.
Penggerak Daily