JOHOR BAHRU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Naim Mokhtar menasihati semua pihak untuk mengamalkan sikap tabayyun iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, insiden seorang lelaki bukan Muslim ditampar kerana makan di dalam kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di sini tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.
“Saya ingin menegaskan kepentingan tabayyun iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.
“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia, dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.
Tambah beliau, tindakan secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.
“Oleh itu, saya menyeru semua umat Islam agar mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.
“Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia dan penuh dengan nilai kasih sayang selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” jelasnya.
Semalam, dua video berdurasi 32 saat dan 44 saat tular di media sosial berkaitan insiden melibatkan seorang pemuda bukan Muslim ditampar seorang lelaki lain ketika sedang makan di kedai serbaneka dalam sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.
Penggerak Daily