Oleh: Editorial Penggerak Daily
Istana Negara memandang serius terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Istana Negara untuk menyebarkan berita palsu sama ada kepentingan politik atau peribadi, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
“Istana Negara sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Istana Negara melalui aplikasi whatsapp”,
“Tindakan tidak bertanggungjawab bukan sahaja mencemarkan nama Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dari pelbagai sudut”,
“Jika mendapati perlu, Istana Negara tidak teragak-agak untuk melaporkan kepada PDRM begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Media dan Komunikasi 1998”.
Sehubungan itu juga, Istana Negara menyaran rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.
Istana Negara turut menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi untuk mengelakkan kegusaran awam.
PenggerakDaily