JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membantu pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf Larkin Sentral di sini yang merupakan hab pengangkutan awam utama Johor sekaligus menjadikannya terminal kategori gred A.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketika ini Larkin Sentral dikategori sebagai terminal gred B oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Katanya, perkara itu penting kerana premis berkenaan menghubungkan pelbagai destinasi dalam dan luar negara dengan purata seramai 18,000 pengguna sehari.
“Penggunaan tinggi menjadikannya pusat logistik penting untuk pergerakan penumpang sama ada perjalanan tempatan mahupun antarabangsa.
“Sehubungan itu, beberapa cadangan tambah baik telah dibuat termasuklah menaik taraf dan membaik pulih bumbung di platform bas; menambah baik sistem pengudaraan di ruang terminal bas; penyediaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta menaik taraf kemudahan untuk bilik rehat pemandu bas,” katanya selepas membuat lawatan kerja ke terminal pengangkutan awam berkenaan, di sini.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan isu berbangkit demi memastikan Larkin Sentral menjadi pusat pengangkutan yang efisien dan memenuhi standard piawaian tinggi.
“Usaha ini dibuat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan fasiliti hab pengangkutan awam ini, sekaligus memberi keselesaan kepada pengguna khususnya penduduk negeri ini.
“Semoga usaha ini dapat membantu merealisasikan hasrat Johor untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan aduan pengguna berhubung kualiti infrastruktur di Larkin Sentral yang boleh dikategori sebagai ketinggalan khusus buat negeri yang sedang berkembang pesat daripada sudut ekonomi.
Pada Julai tahun lalu, empat premis perniagaan di Larkin Sentral musnah dalam kebakaran. Kejadian itu turut menyebabkan berlaku kerosakan pada bahagian bumbung premis berkenaan.
Penggerak Daily