JOHOR BAHRU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa mengambil langkah lebih proaktif dengan mempromosikan program-program berbentuk keagamaan di pelbagai platform media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, hal itu kerana program seperti Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kurang diketahui walaupun sudah memasuki tahun kesepuluh penganjurannya.
Sehubungan itu, pengguna media sosial dan teknologi digital penting untuk melakukan penambahbaikan dalam aspek berkenaan.
“Promosi sangat penting, kita perlu cari jalan bagaimana nak promosi program seperti ini secara ‘online’, kalau boleh lihat sudut itu saya yakin kita dapat perluaskan lagi program seperti ini.
“Oleh itu, Jakim perlu lihat aspek ini kerana usaha mempromosi program melalui media tradisional dilihat kurang (berbanding media sosial),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-10 yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor. (MAINJ), Datuk Dr. Nooh Gadut.
Sementara itu, Mohd. Naim memberitahu, pihak berkuasa agama Islam negeri perlu fokus kepada usaha pengukuhan penguasaan ilmu dan pembinaan nilai murni dalam kalangan murid dan pelajar di negara ini.
“Langkah ini penting bagi melahirkan generasi yang dapat menterjemah ilmu pengetahuan kepada adab, akhlak dan peribadi mereka. Pendidikan sangat penting bagi membangunkan karamah insaniah.
“Sehubungan itu, ia juga perlu dipelbagaikan serta disesuaikan dengan cabaran semasa kepesatan dunia teknologi pada hari ini,” jelasnya.
Penggerak Daily