ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengakui permukaan jalan raya di beberapa kawasan dalam negeri ini khususnya daerah-daerah yang teruk terjejas banjir berada dalam keadaan rosak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sehubungan itu berkata, pihaknya telah memohon peruntukan berjumlah RM168 juta daripada kerajaan pusat untuk kerja-kerja membaik pulih.
Menurut beliau, jumlah tersebut adalah anggaran awal melibatkan jalan raya yang rosak di negeri ini.
“Pasca banjir ini, jalan-jalan di Johor berada dalam keadaan ‘maha dahsyat’, saya sendiri menerima aduan kerosakan jalan raya hampir setiap hari.
“Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengadu keempat-empat ‘sport rim’ kenderaannya rosak selepas berkunjung ke negeri ini menyebabkan kerugian RM4,000,” selorohnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh Sepanjang 2.15 Kilometer di Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Mohammad Nafis Abd. Razak.
Tambah Mohamad Fazli, jumlah kerugian itu bagaimanapun dijangkakan akan meningkat kerana kiraan awal tidak melibatkan kawasan yang masih dilanda bencana banjir khususnya melibatkan banjir termenung.
“Selain itu, kita juga akan melihat kepada kerosakan-kerosakan melibatkan cerun, jambatan, tiang elektrik yang hampir tumbang serta paip-paip yang bengkok, semua itu sedang dinilai.
“Sewaktu Johor dilanda bencana banjir awal tahun lalu, kerajaan negeri telah membuat permohonan asal sebanyak RM20 juta, dan sebahagiannya daripada peruntukan itu telah diperoleh, kerosakan ketika itu kita telah masukkan dalam anggaran kerugian kali ini,” jelasnya.
Dalam majlis berkenaan, Mohamad Fazli memaklumkan kerja menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh sepanjang 2.15 Kilometer daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.
“Dengan siapnya projek ini, ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya di Taman Nusantara, Gelang Patah serta memudahkan penyuraian trafik khususnya dari Pekan Nanas, Pontian menuju ke pusat bandar Johor Bahru,” jelasnya.
Penggerak Daily