KULAI: Golongan peniaga Bazar Ramadan digesa untuk mengelakkan pembaziran melibatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual dengan menyumbang kepada individu kurang bernasib baik.
Pengerusi Pemuda GEMA Johor,
Muhamad Khairi Yalah berkata, pihaknya bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor bagi tujuan berkenaan.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyasarkan kutipan lebihan makanan sebanyak 1 tan, tahun ini.
“Pemuda GEMA telah melancarkan program MySaveFood Ramadan di Kampung Baru Kuala Lumpur pada 2016, sebelum dikembangkan ke seluruh negara termasuklah di Johor.
“Tahun lalu, kita berjaya kumpulkan lebihan makanan sebanyak 300 kilogram di negeri ini, jadi sasaran tahun ini adalah sebanyak 1 tan lebihan makanan di 52 Bazar Ramadan seluruh Johor.
“Sehubungan itu, kita berharap golongan peniaga di Bazar Ramadan juga lebih cakna dengan tidak membazirkan lebihan makanan, sebaliknya disumbang kepada golongan memerlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bazar Ramadan Temenggong, Indahpura, di sini hari ini.
Tambah Muhamad Khairi, NGO tersebut turut menyasarkan untuk mengutip sehingga 50 tan lebihan makanan daripada lebih 100 Bazar Ramadan yang terlibat dalam kempen berkenaan di seluruh negara.
“Sejak memulakan kempen ini, sambutan dalam kalangan peniaga cukup baik kerana mereka juga tidak mahu membuang lebihan makanan begitu sahaja, jadi mereka menyokong kempen ini.
“Kesemua makanan dan minuman yang dikumpul akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ia masih baik untuk dimakan, sebelum diagihkan kepada senarai penerima yang terdiri daripada komuniti setempat,” ujarnya.
Muhamad Khairi turut memberitahu, kempen anjuran pihaknya itu turut disertai sukarelawan terdiri daripada penuntut universiti, pelajar sekolah serta golongan dewasa.
Penggerak Daily