JOHOR BAHRU – Polis Johor tidak akan berdiam diri terhadap tindakan individu yang memfitnah serta memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, video yang dimuat naik seorang lelaki bernama K. Haridas di Facebook Defend People’s Rights Group itu berniat jahat mencabar integriti beliau serta Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Individu ini mendakwa KPN tidak berintegriti serta menuduh saya menggunakan agama untuk mencari nama.
“Saya berpegang pada agama Islam yang mengajar kita menolak rasuah dan sebagainya,” katanya.
Beliau menerima sebarang kritikan tetapi jangan membuat fitnah dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran.
“Itu saya tak boleh terima dan akan ambil tindakan,” katanya.
Video berdurasi 17 minit 39 saat itu dimuat naik di Facebook Badan bukan kerajaan (NGO) pada 20 November lalu mendapat tontonan sebanyak 200,000 kali dan dikongsi oleh lebih 1,000 pemilik akaun.
Ayob Khan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu juga pernah menuduh polis bagi kes yang tidak wujud serta tidak mengambil tindakan terhadap laporannya.
Katanya, dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana polis sudah memanggil beliau untuk memberi keterangan pada 18 Mac lalu namun tidak memunculkan diri.
Jelasnya, individu yang mempunyai kaitan dengan NGO yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pernah disumbat ke dalam penjara bagi kes ugutan jenayah.
“Lelaki berasal dari Seremban ini pernah ditangkap oleh anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 25 April lalu di Negeri Sembilan dan dituduh di Mahkamah di sini.
“Dia dimasukkan ke dalam penjara kerana tak mampu bayar jamin, dia kemudiannya dilepaskan pada hari kelima selepas bayar jamin tersebut,” katanya.
Beliau berkata, individu berkenaan mempunyai 10 laporan polis terhadapnya yang dibuat di IPK Selangor, Negeri Sembilan dan Johor bagi pelbagai kes.
Tambahnya, antara kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Hasutan, Seksyen 90 Akta Polis kacau ganggu di balai polis, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 324 Kanun Keseksaan pukul dengan senjata dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Kita sudah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam dan akan ‘menjemput’ lelaki berkenaan dalam masa terdekat.
Sumber: VOICE