JOHOR BAHRU: Menurut portal berita tempatan, MalaysiaNow, difahamkan peruntukan kontroversi RM85.5 juta yang diperoleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 mungkin akan dikurangkan.
Sumber berkata, peruntukan Jasa, yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), mungkin dikurangkan hampir separuh kira-kira RM40 juta.
“Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang dihubungi tidak menolak kemungkinan peruntukan J-KOM yang diselia kementeriannya itu akan dikurangkan”, menurut portal berkenaan.
“Saya difahamkan menteri (Saifuddin Abdullah) akan mengurangkan separuh daripada peruntukan asal yang diumumkan Kementerian Kewangan 6 November lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.
Zahidi berkata perkara itu akan diumumkan semasa penggulungan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa yang bermula pada Isnin.
Saifuddin baru-baru ini mengumumkan tugas utama J-KOM adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baru susulan pandemik Covid-19, dengan matlamat memperkasa masyarakat menerusi penekanan digitalisasi dan pengetahuan.
Beliau turut mengumumkan jabatan itu mempunyai fungsi dan peranan berbeza daripada Jasa, termasuk jaminan tiada lantikan dalam kalangan ahli politik.
Langkah itu sekaligus menafikan desas desus kononnya Jasa sebagai jabatan propaganda politik kerajaan.
PenggerakDaily