JOHOR BAHRU: Pengisytiharan daerah Johor Bahru sebagai zon merah akibat pandemik Covid-19 ketika ini tidak akan menjejaskan perjalanan sektor ekonomi melibatkan perniagaan, perkilangan dan pekerjaan.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, ketika ini arahan penutupan hanya melibatkan sekolah dan institusi pendidikan lain.
Sehubungan itu pihaknya mahu memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) terus dilaksanakan.
“Ekoran penetapan Johor Bahru sebagai zon merah, sekolah dan institusi pendidikan di tiga kawasan melibatkan bandar raya ini, Pasir Gudang dan Kulai ditutup sementara bermula 1 November.
“Namun ketika ini, tiada arahan penutupan melibatkan sektor ekonomi seperti pusat perniagaan, kilang dan tempat kerja dikeluarkan.
“Apa yang penting untuk diberi penekanan adalah untuk memastikan pematuhan dibuat terhadap SOP ditetapkan dalam norma baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Bulan Kesedaran Down Sindrom Sedunia 2020 di Pulai Springs Resort, di sini hari ini.
Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan daerah Johor Bahru sebagai zon merah ekoran berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan sekitar, termasuklah kewujudan beberapa kluster antaranya Kluster Kempas, Kluster Rinting dan Kluster Bayu.
Ekoran itu, sebanyak 376 institusi pendidikan di zon merah negeri ini melibatkan prasekolah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan juga sekolah antarabangsa diarah tutup bermula esok sehingga 14 November.
Arahan sama turut dikeluarkan kerajaan negeri membabitkan 217 buah institusi pendidikan Islam bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tambah Hasni, bantuan yang disediakan kerajaan negeri kepada individu yang dijangkiti Covid-19 serta kepada waris yang disahkan maut kerana wabak berkenaan masih terpakai.
“Ya, bantuan yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban pihak berkenaan masih lagi berjalan, khususnya bantuan yang diberi menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan negeri menerusi MAINJ menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada individu yang disahkan dijangkiti Covid-19.
Penggerak Daily