JOHOR BAHRU: Pengenalan kod respon pantas atau kod QR iaitu JBQR bakal mentransformasikan sektor pelancongan negeri khususnya bandar raya ini menjelang sambutan Tahun Melawat Johor 2026, akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, usaha ini adalah satu langkah baik dalam mendigitalkan sektor pelancongan di negeri ini, selari dengan perkembangan teknologi terkini.
Menurut beliau, kod QR JBQR ini adalah lokasi kedua kemudahan ini dilaksana selepas Kuala Lumpur melalui KLQR.
“Sekarang semakin kurang orang membuat tempahan pelancongan menggunakan kaedah konvensional, sebaliknya majoriti kini membuat tempahan pelancongan secara atas talian, jadi ini satu inisiatif yang baik.
“Perkara ini selari dengan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan tempat-tempat menarik di Johor Bahru sempena program Tahun Melawat Johor 2026,” katanya Majlis Pelancaran JBQR di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif JBQR, Sukhbir Singh.
Tambah Raven Kumar, kemudahan ini juga selari dengan inisiatif hijau yang menyaksikan maklumat berkaitan lokasi dan bangunan-bangunan menarik disampaikan secara digital berbanding penggunaan risalah-risalah.
Sementara itu, Sukhbir Singh pula memberitahu, pihaknya menyasarkan sehingga satu juta pengguna JBQR menjelang akhir tahun ini.
“Keputusan memilih Johor Bahru selepas Kuala Lumpur adalah disebabkan lokasi ini merupakan antara bandar yang utama dalam Malaysia yang juga berhampiran dengan Singapura.
“Sehubungan itu, kita berharap pelancong domestik dan juga antarabangsa dapat mengenali lebih lanjut destinasi-destinasi menarik yang ada di bandar raya ini, melalui cara itu mereka akan lebih memahami sejarah di sebaliknya,” jelasnya sambil memaklumkan akan mengembangkan kemudahan itu ke Iskandar Puteri, selepas ini.
Dalam pada itu, Mohd. Noorazam pula memberitahu, pihaknya yakin kemudahan itu akan dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke bandar raya ini, sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya peniaga-peniaga.
Penggerak Daily