Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengumumkan kerjasama bersejarah dengan organisasi antarabangsa UNICEF untuk mengumpul dana bagi kemajuan kanak-kanak di Ibu Pejabat JDT hari ini.
Harimau Selatan juga berkemungkinan akan membawa logo UNICEF di bahagian hadapan jersi pasukan untuk musim 2021.
Kerjasama dengan UNICEF ini adalah yang pertama di rantau ini dan akan meningkatkan lagi kesedaran tentang keperluan kanak-kanak.
Tugas UNICEF adalah memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dengan selamat dan mencapai potensi sebenar mereka.
Setelah mengumumkan beberapa kerjasama komersial antarabangsa sebelum ini yang dijangka bakal menjana pendapatan buat kelab, JDT juga fokus kepada tanggungjawab sosial korporat yang memberi pulangan kepada masyarakat.
“Aspek utama dalam organisasi yang berjaya adalah nilai kemanusiaannya,” titah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
“Sebagai sebuah organisasi, kami sangat berjaya dari sudut komersial”,
Oleh itu untuk musim 2021 ianya penting untuk memastikan kita tidak lupa asal usul kita dan perspektif kemanusiaan sebagai sebuah organisasi.
“Kami dengan bangga mengumumkan JDT telah menjalin kerjasama dengan organisasi terbesar dunia dalam kemajuan kanak-kanak, UNICEF. Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya di antara kelab bola sepak dan UNICEF di rantau ini.”
“Kami amat gembira untuk meletakkan JDT selaku pelopor untuk matlamat global UNICEF bersama rakan baik saya David Beckham dan mengingatkan kita bahawa kanak-kanak adalah masa depan, baik di negeri Johor mahupun di seluruh dunia.”
JDT sentiasa pantas memperlihatkan sisi kemanusiaan dengan memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir dan gempa bumi di Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan banyak lagi.
Para pemain dan pegawai JDT juga mendermakan sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor ketika penularan pandemik Covid-19 manakala kelab mendermakan kesemua RM680,000 yang diperolehi dari Perlawanan Persahabatan JDT All-Stars 2019 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Women’s Aid Organisation dan Majlis
Kanser Nasional Malaysia.
PenggerakDaily