JOHOR BAHRU: Jenazah penyerang tunggal insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu telah dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, di sini semalam.
Van yang dipercayai membawa mayat suspek berusia 21 tahun itu dilihat memasuki pekarangan tanah perkuburan berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari.
Proses pengebumian itu bagaimanapun hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis.
Pengamal media bagaimanapun dihalang untuk menghampiri kawasan berkenaan sebelum diminta keluar dipercayai atas faktor keselamatan.
Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, memberitahu, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kadi Daerah untuk menjarakkan lokasi kubur suspek berbanding kubur orang awam lain.
Oleh itu katanya, pihaknya telah menyediakan tapak kubur di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan.
Jumaat lalu, dua anggota polis maut selepas Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang individu bersenjatakan parang. Suspek turut merampas senjata api anggota polis yang dibunuhnya.
Serangan itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis, sebelum suspek berjaya dibunuh tidak lama kemudian.
Sabtu lalu, polis menahan seramai tujuh individu termasuk bapa kepada penyerang. Kesemua mereka dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula 18 Mei bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penggerak Daily