JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor akan menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang wanita membuang air kecil di belakang kaunter Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, siasatan tersebut bertujuan untuk mengenalpasti tarikh dan masa kejadian tersebut berlaku kerana tiada sebarang laporan mengenainya.
Katanya, tindakan tersebut bagaimanapun memang salah daripada sudut moral, apatah lagi dilakukan dalam sebuah bangunan kerajaan.
“Sekiranya individu tersebut sudah tidak dapat tahan untuk ke tandas, dia sepatutnya mendapatkan bantuan daripada pegawai atau anggota di lokasi yang boleh menunjukkan arah tandas awam.
“Sudah tentu dia akan dibantu, kerana pada akhirnya semua pihak terlibat adalah manusia biasa,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan seorang individu wanita dipercayai telah membuang air kecil di belakang sebuah kaunter bangunan berkenaan.
Apabila ditegur, wanita tersebut dilihat memakai kembali seluarnya dan mengatakan ‘sorry’ beberapa kali sebelum bergegas meninggalkan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan isu tersebut.
“Jika ada laporan dibuat, kita akan siasat dan ambil tindakan ikut undang-undang. Patuhi peraturan dan jaga kesopanan, gunakan tandas yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, pada 13 Jun tahun lalu, tular di media sosial memaparkan dua lelaki sedang membuang air kecil di bawah pokok di lokasi berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.
Penggerak Daily