ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor bertanggungjawab melaksanakan sebanyak 161 projek pembangunan infrastruktur melibatkan peruntukan berjumlah RM3.1 bilion.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek tersebut melibatkan sejumlah 121 projek kerajaan persekutuan dan 40 projek kerajaan negeri.
Menurut beliau, projek-projek berkenaan pula melibatkan 17 kementerian berbeza.
“Saya juga telah meminta segala projek dilaksana dengan komitmen cepat dan tepat. Ini bermakna kita mahu pelaksanaan projek itu berjalan lancar, mengikut jadual dan menjaga kualiti seperti dikehendaki.
“Ada beberapa projek pembinaan yang boleh dijadikan contoh antaranya pembinaan sebuah kediaman 10 tingkat dalam tempoh 24 jam di China, dan juga pembinaan lebuhraya sepanjang 75 kilometer dalam tempoh kira-kira 4 hari di India.
“Dahulu India pernah belajar membina lebuhraya dengan kita, tetapi kini mungkin boleh belajar daripada mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Ir. Abu Bakar Abd. Aziz.
Tambah Ahmad, antara projek yang sedang dalam pembinaan termasuklah kerja menaik taraf jambatan Kota Tinggi dengan kos RM126.4 juta dan naik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan kos RM128.9 juta.
Penggerak Daily