Calon Demokrat Joe Biden berjaya memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) selepas memperolehi 284 undi elektoral berbanding penyandang jawatan itu, calon Republikan Donald Trump yang hanya berjaya mendapat 214 undi.
Keputusan tidak rasmi ini menyaksikan Biden, 77, menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun untuk memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.
Kemenangan Biden menafikan hasrat Trump yang sepanjang pentadbirannya penuh kontroversi untuk menjadi presiden bagi penggal kedua.
Susulan kemenangan itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Joe Biden dan berharap dengan perkembangan itu, Malaysia dapat menjalin hubungan yang lebih baik dengan AS.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin mengatakan Malaysia, sebagai negara membangun, sangat mementingkan hubungannya dengan AS.
“Malaysia berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama ini dengan AS di bawah Biden ketika masyarakat antarabangsa berusaha mengatasi banyak cabaran global, termasuk kesan buruk dari pandemik Covid-19.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada presiden terpilih Biden dalam menjalankan tugas, dan berharap dapat bertemu dengannya secara peribadi jika ada peluang,” kata Muhyiddin.
PenggerakDaily