Bekas penggusti dan pelakon terkenal, John Cena, memuji BTS dan peminat setia global kumpulan K-Pop itu dengan menyifatkan mereka sebagai “sesuatu yang istimewa.”
Pujian melambung Cena kepada BTS dan BTS Army itu dibuat ketika dia muncul dalam program bual bicara The Tonight Show Starring Jimmy Fallon semalam.
Cena berkata, pada awalnya dia tertarik dengan muzik BTS namun kemudian menjelaskan sebenarnya dia lebih berkenan dengan mesej disampaikan BTS kepada dunia.
“Saya meminati muzik, tapi kemudian saya meminati apa yang muzik tu sampaikan.
“Mereka mengajar untuk menyayangi diri sendiri, jangan takut dengan kegagalan dan turut mengajar bahawa diri yang kamu ada itu sudah mencukupi.
“Mereka cuba memecahkan stereotaip dan ketidakselesaan yang kita hadapi,” katanya.
“BTS mendermakan AS$1 juta (RM4.2 juta) kepada Black Lives Matter (BLM) dan ‘tenteranya’ berkata: jika mereka boleh lakukannya, kita juga begitu.
“Peminat yang sanggup berhabis duit demi menyokong artis mereka juga sanggup berbuat demikian untuk aktiviti kebajikan – dan ni bukan pertama kali mereka melakukannya,” katanya.
Selepas BTS memberikan sumbangan kepada pergerakan BLM pada Julai lalu, kumpulan peminat sukarelawan yang menggelarkan diri mereka One In An Army menetapkan matlamat #MatchAMillion di media sosial dan melepasi sasaran RM4.2 juta itu hanya dalam tempoh 24 jam.
Kata Cena, apa dilakukan BTS dan peminat setia mereka mengubah dunia.
“Ia benar-benar mengagumkan.
“Saya tak peduli apa pandangan kamu mengenai mereka. Tapi bagaimana mereka kendalikan diri dan mesej disampaikan kepada dunia, itu bagi saya adalah sesuatu yang istimewa,” katanya.
Sumber: Malaysiakini