JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor membenarkan 20 lokasi baharu bagi mendirikan solat Jumaat bermula hari ini sempena pertukaran cuti hujung minggu kembali kepada Sabtu dan Ahad bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, premis tersebut melibatkan surau kariah serta musolla di sekolah, pusat tahfiz dan perkampungan Orang Asli.
Katanya, keputusan tersebut dibuat setelah mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Premis terlibat adalah 10 surau kariah, sembilan musolla sekolah dan pusat tahfiz serta satu di perkampungan Orang Asli di Johor Bahru, Batu Pahat, Mersing, Kulai, Muar dan Kota Tinggi.
“Ketetapan ini berkuatkuasa mulai hari Jumaat, 3 Januari 2025 berdasarkan syarat dan pematuhan peraturan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, langkah itu akan memudahkan orang ramai termasuk ibu bapa, pelajar serta pekerja sektor awam dan swasta melaksanakan solat Jumaat di kawasan berdekatan.
“Ini berikutan perubahan cuti hujung minggu 2025 yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan bersekolah bagi negeri Johor,” jelasnya.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.
Terdahulu pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.
Penggerak Daily