ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 500 unit kediaman Rumah Kasih Johor (RKJ) akan dibina di negeri ini menjelang tahun 2026 untuk membantu golongan miskin tegar, asnaf dan golongan B40 memiliki kediaman rumah sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pembinaan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM56.5 juta.
Katanya, bermula tahun ini, unit kediaman Rumah Kasih Johor dijual pada harga RM75,000; RM80,000 dan RM85,000 mengikut saiz dan keluasan.
“Unit kediaman RKJ yang dibangunkan pada tahun 2023 telah diserahkan kepada peserta daripada golongan sasar pada bulan Ramadan lalu dengan mengambil kira keperluan bilik mengikut bilangan isi rumah.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri sasar membina 120 unit RKJ dengan peruntukan RM17 juta, dengan sasaran akhir adalah sebanyak 500 unit RKJ dibina menjelang tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sahrizan Jani (BN-Gambir) berhubung peranan kerajaan negeri dalam pembinaan RKJ bagi golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini ketika sesi soal jawab di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, pemilihan penerima dan juga unit kediaman RKJ ditawarkan selepas Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) membuat lawatan tapak dan menemu ramah calon peserta terlebih dahulu.
“Hasil dapatan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RKJ sebelum pembinaan unit kediaman itu diluluskan,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas berhubung pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), beliau memaklumkan Johor merupakan negeri yang mencatat jumlah penawaran tertinggi dibawah pinjaman Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).
“Sejak 2021 hingga kini, sebanyak 5,147 tawaran pinjaman dikeluarkan kepada pembeli kediaman mampu milik dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM889.4 juta.
“Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga 120 peratus dengan kadar maksimum pembiayaan sehingga RM300,000,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily