JOHOR BAHRU: Golongan belia khususnya mahasiswa di negeri ini dicabar untuk tampil ke depan untuk bersama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini mengikut acuan yang bersesuaian dengan zaman globalisasi.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, gesaan itu dibuat kerana golongan belia adalah pemimpin masa depan negeri dan negara ini.
Sehubungan itu katanya, mereka perlu mempunyai keyakinan untuk membangunkan Johor demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat pada masa akan datang.
“Saya bangkitkan perkara ini supaya kita jangan malap, jangan rasa kecil diri dan jangan rasa tertinggal tetapi sebaliknya berjiwa besar dan selalu melihat ke depan dengan merujuk kepada negara-negara maju.
“Jangan pernah terlintas pun dalam hati untuk mengalah kepada sesiapa kerana tiada kurangnya dalam diri kita dan kita mampu berdepan dengan sesiapa sahaja,” katanya ketika berucap pada sesi Minum Petang Bersama Mentari Johor di Hotel Thistle, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hasni turut mengingatkan golongan mahasiswa agar memiliki semangat kekitaan dalam diri kerana ia mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan sekaligus pembangunan negeri.
“Korea Selatan suatu ketika dahulu hampir di ambang kemusnahan akibat perang dan sebagainya, tetapi cepat bangkit dan maju oleh kerana semangat kekitaan yang kuat dalam diri rakyatnya.
“Kita lihat mereka membangun dan bangga dengan produk-produk keluaran tempatan yang mereka hasilkan, kita masih belum lagi di peringkat itu.
“Tetapi tidak salah sekiranya kita memikirkan dan merancang bagaimana hendak menjadikan ‘Cara Johor’ sebagai satu kekuatan,” ujarnya.
Sehubungan itu Hasni melaungkan cabaran kepada golongan belia di negeri ini untuk membantu beliau membangunkan Johor sebagai sebuah negeri maju pada masa depan.
Penggerak Daily