JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mencontohi kejayaan Qatar dalam meningkatkan sektor pelancongan menerusi Qatar Tourism bagi menjayakan sambutan Tahun Melawat Johor 2026 dengan menarik kehadiran 12 juta pelancong.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Qatar Tourism telah berjaya membina destinasi ikonik seperti Muzium Seni Islam dan Qatar National Museum yang menjadi tarikan utama pelancong.
Katanya, potensi pelaburan dan kerjasama dengan Qatar bakal memperkukuh daya saing Johor sebagai destinasi pelancongan global sekolah meningkatkan ekonomi negeri.
“Kerajaan negeri yakin dengan potensi dan kekayaan dalam aspek sejarah, budaya dan alam semula jadi seperti kepulauan di Mersing, keindahan pantai Desaru dan taman-taman negara di Johor, negeri ini mampu mencontohi kejayaan Qatar dalam mencipta produk pelancongan bertaraf dunia.
“Semua usaha dijalankan ini seiring dengan hasrat menjadikan Johor negeri maju menjelang tahun 2030. Kita akan pastikan Johor berada di peta pelancongan dunia, menawarkan pengalaman unik dan bertaraf antarabangsa kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar, Saad Ali Al Kharji semasa lawatan kerja ke Qatar.
Tambah Onn Hafiz, lawatan kerja dua hari ke negara berkenaan membuka ruang bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan produk pelancongan yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi Johor dan Qatar.
“Ini juga termasuklah pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa, serta pertukaran kepakaran dalam sektor pelancongan yang kini menjadi salah satu teras utama ekonomi negeri Johor,” tambahnya.
Terdahulu, Onn Hafiz yakin sektor pelancongan Johor mampu mencapai rekod kehadiran pelancong seramai 12 juta setahun pada tahun depan.
“2026 merupakan Tahun Melawat Johor dan juga Tahun Melawat Malaysia. Kita telah tetapkan untuk mencapai rekod kehadiran pelancong seramai 12 juta sempena program berkenaan.
“Ini kerana pelbagai inisiatif termasuk kerjasama dengan pemain industri telah dilakukan, selain usaha menaik taraf pelbagai fasiliti pelancongan sekitar Johor,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily