Kerajaan negeri semalam mula menghantar Bakul Makanan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di negara jiran, Singapura.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri merancang menghantar dan mengagihkan sebanyak 1,000 Bakul Makanan seperti yang diumumkannya dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021, Khamis lalu.
“Misi penyerahan dan pengagihan fasa pertama hari ini membabitkan sebanyak 300 Bakul Makanan yang membabitkan kos RM30,000 dan ia akan dilakukan dengan segera, selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Bagi memudahkan proses pengagihan bakul makanan ini, kerajaan Johor akan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang akan dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan.
“Bakul Makanan yang akan diagih-agihkan ini mengandungi makanan mudah sedia seperti nasi goreng kampung, nasi goreng daging, nasi goreng ayam, sambal tumis ikan bilis, biskut, selain selimut dan set produk kebersihan diri,” katanya semasa Majlis Pelepasan Lori Bantuan ke Singapura di pekarangan Bangunan Sultan Ismail.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pegawai Kewangan Johor, Datuk A. Rahim Nin.
Menteri Besar turut mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu melancarkan proses pengumpulan dan pengagihan
Antara pihak yang membantu merealisasikan misi ini ialah Wisma Putra, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Johor Corporation (JCorp).
“Turut menjayakannya ialah Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Southern Volunteers dan Heavy Machine Motor Club (HMMC) Johor Bahru,” katanya. –
Sumber: VOICE