JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan melihat langkah yang boleh diambil bagi memastikan kejadian banjir kilat yang menenggelamkan kira-kira 500 kenderaan di pusat bandar raya ini dapat diatasi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata demikian selepas beliau melakukan tinjauan mengejut ke Jalan Ayer Molek, di sini setelah mendapat maklumat berlaku kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan.
Katanya, insiden banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini disebabkan peningkatan taburan hujan mendadak selain kejadian air pasang.
“Beberapa bulan lepas, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di sekitar kawasan ini, namun banjir kilat ini berlaku disebabkan oleh peningkatan air secara mendadak.
“Saya dimaklumkan (kebiasaannya) dalam tempoh satu jam air hujan turun sekitar 20 hingga 30 mm (milimeter) tetapi hujan ini kali ini menyaksikan taburan hujan mencecah paras 100 mm.
“Selain itu, paras air pasang juga agak tinggi iaitu sekitar 1.15 meter dan ini telah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pengepaman bagi menyalurkan air keluar dari kawasan tersebut selain menambah baik sistem itu untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bersama MBJB akan mencari penyelesaian segera supaya perkara sebegini dapat dielak pada masa akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru.
Penggerak Daily