JOHOR BAHRU: Peniaga yang masih berdegil dan terus menjual produk rokok elektronik atau vape di negeri ini berdepan tindakan tegas pihak berkuasa negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, larangan penjualan produk vape di negeri ini sejak 2016 masih berkuatkuasa.
Katanya, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil khususnya sekiranya terdapat aduan diterima daripada orang awam.
“Johor antara negeri yang masih melarang penjualan vape, kita ada melakukan penguatkuasaan tetapi tidak secara drastik. Ini kerana ketika ini kita lebih tertumpu kepada isu peniaga warga asing yang semakin meningkat.
“Kita memang ada terima aduan berhubung perkara itu (penjualan vape) sepanjang tahun lalu, tetapi jumlahnya tidak terlalu banyak dan hanya melibatkan kawasan-kawasan tertentu sahaja.
“Tetapi asasnya apabila ada terima aduan, penguatkuasa akan bertindak, termasuklah melibatkan peniaga vape dalam talian, cuma setakat ini susah untuk dikawal,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini, semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Tambah Mohd. Jafni, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini akan terus memantau aktiviti penjualan vape bagi memastikan ia tidak berleluasa.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan peniaga-peniaga untuk patuhi apa yang ditetapkan kerajaan negeri,” jelasnya lanjut.
Pada November 2015, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar penjualan vape di negeri ini diharamkan bermula 1 Januari 2016 kerana ia merupakan isu kesihatan yang akan memberi kesan kepada generasi muda.
“Ia tidak ada kena-mengena dengan perniagaan dan sama sekali tidak ada kaitan dengan bangsa,” titah baginda sekaligus menjadikan Johor negeri pertama yang mengharamkan penjualan vape.
Penggerak Daily