JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited untuk memastikan masalah banjir termenung khususnya yang melanda daerah Batu Pahat ketika ini dapat diselesaikan sebelum ketibaan bulan Ramadan.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya telah menggerakkan beberapa pam air bergerak bagi mengepam keluar air daripada kawasan terlibat.
Antara kawasan terlibat termasuklah Sri Medan, Parit Jelutong dan Parit Raja.
“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau operasi pengepaman air banjir di Parit Jelutong, Pintu Air Sungai Senggarang dan Pintu Air Parit Asam Kumbang.
“Kerajaan negeri tidak mahu isu banjir termenung ini berlanjutan bagi tempoh masa yang lama seperti sebelum-sebelum ini. Pihak kerajaaan mahu isu banjir termenung di daerah ini dapat diselesaikan sebelum Ramadan yang bakal tiba ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Onn Hafiz, bagi mempercepat proses itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil pendekatan untuk mengepam keluar air di kawasan-kawasan tersebut.
“Sebanyak 61 pam air berkapasiti 2, 5, 10 dan 20 ‘cusec’ sedang beroperasi selama 24 jam, manakala 12 lagi pam air akan ditambah kemudian.
“Mengambil iktibar daripada kejadian berlaku, kerajaan negeri sedang mengusahakan alternatif lain untuk menyelesaikan isu ini termasuk mendalamkan sungai utama di daerah Batu Pahat.
“Misi Pasca Banjir Southern Volunteers juga akan melaksanakan kerja-kerja pasca banjir ini di daerah Batu Pahat bermula 19 Mac dengan kekuatan daripada 11 PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) selain daripada pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat melibatkan seramai 531 sukarelawan,” jelasnya.
Penggerak Daily