KULAI: Kerajaan negeri akan melancarkan program Bulan Dakwah Negeri Johor bermula bulan ini bertujuan merancakkan lagi penganjuran pelbagai program berunsur keagamaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, program itu akan melibatkan semua agensi di bawah Pusat Islam Iskandar, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau, antara aktiviti yang telah dirangka termasuklah program dakwah, seminar dan kursus berkaitan di lapangan melibatkan masyarakat awam.
“Program Bulan dakwah ini diharap dapat mengukuhkan pegangan akidah masyarakat muslim di negeri ini untuk terus kekal dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Al-Asyairiah dan Al-Maturidiah, dalam masa sama turut menghakis fahaman-fahaman yang bercanggahan dengannya.
“Sempena bulan dakwah ini, kita juga menyasarkan beberapa aktiviti dakwah melibatkan golongan muslim serta bukan muslim dijalankan, ini kerana pengertian dakwah itu sendiri adalah untuk mengajak orang mengenali Islam.
“Sehubungan itu, adalah sangat bertepatan sekiranya kita dapat turut berdakwah kepada sahabat-sahabat kita yang bukan beragama Islam,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Dakwah, Bacaan Yasin, zikir munajat dan bacaan berzanji di Dewan Pejabat Daerah Kulai, di sini malam tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani.
Mohd. Fared bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak mahu aktiviti dakwah di negeri ini hanya berlangsung pada bulan-bulan tertentu sahaja, sebaliknya dilaksana sepanjang tahun.
“Semoga kita bersama-sama dapat menjalankan tugas dakwah kepada masyarakat dengan apa cara sekalipun, walau hanya menyebarkan senyuman kepada mereka, atau menyebarkan salam kepada sesama muslim,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily