JOHOR BAHRU: Peniaga warga asing termasuk daripada etnik Rohingya tidak dibenarkan untuk berniaga di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan kecil kepada warga asing.
Sehubungan itu katanya, pihaknya mengalu-alukan aduan awam berhubung perkara tersebut.
“Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di kawasan Greater Johor Bahru (JB), kita sedang menguatkuasakan tindakan kepada peniaga warga asing, termasuk di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.
“Jadi sekiranya ada warga asing berniaga termasuk di celah-celah bazar, laporkan kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan denda dan merampas barangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.
Tambah Mohd. Jafni, kesemua 16 PBT di negeri ini akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan aspek kebersihan dipatuhi peniaga-peniaga bazar.
“Peniaga perlu mematuhi Akta Makanan 1983 yang bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada pengguna. Ini adalah perkara biasa dan sepatutnya golongan peniaga sudah maklum akan perkara ini kerana majoriti daripada mereka adalah peniaga di pasar malam, pasar pagi atau pasar tani,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 9,769 petak melibatkan 182 lokasi Bazar Ramadan, manakala 1,904 petak pula diluluskan di 25 lokasi Bazar Aidilfitri, tahun ini.
“Peniaga terlibat diminta mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan PBT masing-masing termasuklah larangan menjual barangan cetak rompak dan kebersihan tapak perniagaan masing-masing,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily