ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menggesa kerajaan pusat untuk menyegerakan dasar berkaitan suntikan vaksin Covid-19 kepada individu berusia bawah 18 tahun di negara ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, langkah memberi suntikan kepada golongan berkenaan disambut baik dalam usaha memperluas imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.
“Sekiranya suntikan dos ketiga diperlukan, saya percaya kerajaan pusat akan membentuk satu dasar berkenaan dengan meningkatkan antibodi atau daya ketahanan diri bagi individu termasuk frontliner yg telah terima dos lengkap.
“Yang lebih penting ialah suntikan untuk bawah 18 tahun kepada pelajar, mahasiswa dan belia. kita harap kerajaan pusat akan menyegerakan dasar suntikan dibawah 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo Tung Siong (Ph-Pekan Nanas) pelaksanaan suntikan dos ketiga kepada individu lengkap vaksin khususnya petugas barisan hadapan negara.
Hasni yang juga merupakan ADUN Benut berkata demikian pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Dua hari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu hadapan.
Beliau dilaporkan berkata, inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.
“Saya berharap, lebih ramai golongan remaja mendapat vaksinasi dalam tempoh 100 hari akan datang.
“Kita mahu, apabila bermulanya penggal persekolahan baharu pada tahun hadapan, semua remaja telah melengkapkan suntikan vaksin mereka,” katanya.
Untuk rekod, setakat ini, kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Pfizer-BioNTech buat remaja berusia 12 ke 17 tahun.
Penggerak Daily