ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mempunyai kapasiti untuk menempatkan sehingga seramai 194,195 mangsa banjir kilat di negeri ini menerusi 777 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dikenalpasti di seluruh Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kemampuan tersebut adalah persediaan kerajaan negeri setakat September tahun ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti sejumlah penyedia makanan kering dan basah untuk memastikan bekalan makanan buat mangsa terjamin.
“Menerusi statistik kesiapsiagaan monsoon timur laut 2022 / 2023 di Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, seramai 75 pembekal barangan kering dan 70 pembekal makanan bermasak telah dikenalpasti di setiap daerah.
“Sementara itu, kadar catuan bekalan makanan di PPS yang diuruskan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) adalah mengikut kuota ditetapkan iaitu RM25 seorang sehari bagi makanan masak berkawah atau berbungkus,” katanya dalam sesi perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam
ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) berhubung persediaan JKM negeri dalam menghadapi bencana banjir di negeri ini.
Khairin-Nisa turut memberitahu, persiapan kerajaan negeri merangkumi penyediaan PPS, penyelenggaraan logistik, penyediaan stok bekalan bencana di semua stor bencana daerah, mengemaskini senarai pembekal makanan bermasak di semua daerah dan senarai petugas melibatkan warga kerja JKM dan sukarelawan kebajikan.
“Sehingga November 2022, seramai 457 petugas melibatkan pegawai dan kakitangan dari Unit Bencana, Pegawai Psikologi, Psychology Support Team (PST) dan sukarelawan kebajikan di 10 daerah.
“Tambahan jumlah warga kerja di Ibu Pejabat JKM negeri Johor dan tujuh institusi kebajikan di negeri Johor iaitu seramai 413 orang yang juga akan bertugas di lapangan sekiranya ada keperluan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah juga telah melantik ahli jawatankuasa PPS iaitu Jawatankuasa Pendaftaran mangsa; Bekalan Keperluan; Makanan; Kesihatan dan Kebersihan; Keselamatan; Aktiviti dan Sukarelawan.
“Senarai keanggotaan bagi setiap jawatankuasa yang dilantik adalah sekurang-kurangnya lima orang dan bergantung kepada kapasiti PPS yang akan dianggotai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Unit Pengurusan Bencana Daerah dari Pejabat Daerah, komuniti setempat, sukarelawan dan mana-mana Pertubuhan Sukarela setempat.
“Kolaborasi ini dapat melancar dan mempercepat penyaluran bantuan di PPS serta mengukuhkan tenaga kerja bagi mengurus mangsa bencana yang dipindahkan di PPS,” tambahnya.
Penggerak Daily