ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan meminta kerjasama kerajaan persekutuan untuk membangunkan Pelabuhan Batu Pahat sebagai sebuah platfom perdagangan antarabangsa yang berjaya khususnya bagi negara di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, langkah berkenaan akan beri manfaat bukan sahaja kepada kerajaan negeri, tetapi juga persekutuan.
Menurut beliau, ia adalah sebahagian perancangan kerjasama yang terhasil antara tiga negara iaitu Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Berhubung kerjasama itu, kita sedang mengkaji untuk melaksanakan projek-projek yang boleh menguntungkan negara anggota, dan antaranya adalah pembangunan pelabuhan ‘barter trade’ di Batu Pahat.
“Jadi kita minta kerajaan persekutuan untuk bantu kita, sama ada dalam bentuk peruntukan dan juga khidmat nasihat untuk melaksanakan perkara berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Kota Iskandar, di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-13 secara maya pada 28 Oktober lalu memaklumkan keputusan melibatkan tiga negeri sebagai ahli baharu IMT-GT.
Negeri berkenaan adalah Johor, Pahang dan Terengganu.
Sementara itu, Hasni sebelum ini memaklumkan penyertaan Johor dilihat amat bersesuaian kerana negeri berkenaan turut menjalin kerjasama dengan Indonesia melalui Kepulauan Riau.
“Indonesia mahu membangunkan Riau sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu, maka ia difikirkan bahawa Johor amat sesuai untuk terlibat sama.
“Apabila Indonesia membangunkan daerah berkenaan, Malaysia juga harus membangunkan daerah di Pantai Barat. Maka dengan ini Johor mempunyai satu lagi ‘regional authority’,” ujarnya pada 4 November lalu.
Dalam pada itu, Mustapa turut memberitahu kemasukan Johor dalam kerjasama IMT-GT akan turut memberi nilai tambah kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Penggerak Daily