JOHOR BAHRU: Johor kini berada pada momentum terbaik untuk mencapai sasaran 100 peratus penduduk dewasa negeri ini lengkap dua dos vaksin pada bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, setakat hari ini kira-kira 81.2 peratus populasi dewasa Johor telah divaksin.
Katanya, perkembangan itu adalah seperti yang dijangkakan pihaknya sebelum ini.
“Kadar vaksinasi kita pada waktu ini adalah hasil kecekapan frontliners dan sinergi antara kerja persekutuan, kerajaan negeri, agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan semua yang bekerja untuk kebaikan negeri Johor.
“Ini lah cara Johor,” katanya dalam media sosial Twitter miliknya, semalam.
Sementara itu, Hasni turut memberitahu, pihaknya telah selesai mengadakan Retreat Belanjawan Johor 2022 selama dua hari dan mempengerusikan mesyuarat titik fokus oleh barisan exco Johor.
“Semua barisan exco negeri Johor turut membuat pembentangan dan memberi cadangan titik fokus portfolio mereka untuk dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2022.
“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya berharap untuk mendapatkan lebih banyak cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak dan rakyat Johor,” ujarnya lanjut.
Turut hadir dalam program berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Penggerak Daily