ISKANDAR PUTERI: Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menerima peruntukan bernilai RM16.66 juta untuk menyelaras pelaksanaan enam program yang melibatkan seramai 1,583 penerima bermula tahun ini hingga 2022.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 juta telah diagihkan untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dengan Pengusaha Tanaman serta Industri Asas Tani (IAT).
Menurut beliau, peruntukan yang diterima itu adalah menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi pelaksanaan program atau projek di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan.
“Tujuannya adalah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan di samping menjadikan Johor sebagai hab utama pengeluaran makanan negara.
“Program ini adalah satu kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai Pemain Industri dengan Pengusaha Tanaman atau Industri Asas Tani menerusi urusan jual beli hasil atau produk pertanian, seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Jabatan Pertanian Negeri Johor dan Pemain Industri dengan Pengusaha Tanaman atau Industri Asas Tani, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali.
Tambah beliau, persefahaman itu bertujuan untuk mendapatkan harga pasaran yang relevan serta menguntungkan kedua-dua pihak atas nasihat Jabatan Pertanian Negeri Johor.
“Syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan atau eksport, manakala pengusaha berperanan memastikan produk dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat.
“Menerusi program ini, setiap syarikat peneraju akan menerima insentif maksimum RM50,000 bagi setiap syarikat manakala setiap pengusaha menerima insentif maksimum RM20,000.
“Insentif berkenaan akan diberikan dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur yang diperlukan untuk meningkatkan produktiviti serta pembinaan bangunan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang untuk memastikan proses pemasaran berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Hasni turut memberitahu, program itu dijangka mampu mengatasi masalah pemasaran serta lambakan produk pertanian yang sering dihadapi pengusaha, terutamanya pengusaha kecil dalam mendapatkan harga pasaran yang baik.
“Usaha ini adalah salah satu kaedah untuk mengeluarkan pengusaha yang terdiri daripada petani kecil daripada kepompong kumpulan B40 dimana syarikat peneraju juga akan mendapat produk pertanian yang mencukupi dan berkualiti, seterusnya mampu meningkatkan kadar Sara Diri (SSR) negara.
Sesi Menandatangani MoU yang diadakan hari ini merupakan fasa pertama membabitkan enam syarikat peneraju dan dua puluh pengusaha manakala fasa kedua akan diadakan pada Januari 2022 membabitkan enam syarikat peneraju dan 50 pengusaha.
Penggerak Daily