ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri didesak untuk membuat semakan semula pemetaan persempadanan perairan antarabangsa antara Johor dan Singapura khasnya di perairan Selat Tebrau, di sini.
Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad semasa sesi berbahas sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Menurut beliau, gesaan itu dibuat ekoran tindakan pihak berkuasa Singapura yang menghalau nelayan tempatan dengan kata-kata kesat dan berbaur hinaan, Oktober lalu.
“Insiden tersebut tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, imej rakyat kita dihina, nelayan kita ini bukan penceroboh sebalik hanya mencari rezeki sebagai nelayan dengan menjala dan memancing di sana.
“Tetapi mereka dihalau dah dihina dengan kata-kata kesat, tindakan pihak berkuasa negara itu iaitu Police Cost Guard tidak wajar dan kerajaan negeri harus ambil tindakan segera dan hantar surat bantahan kepada negara tersebut.
“Isu ini tidak harus ‘disenyapkan’ begitu sahaja kerana tanpa ada bantahan, seolah-olah mengaku kesalahan rakyat kita sedangkan selama ini,” katanya ketika berucap dalam sesi persidangan tersebut di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Pada 24 Oktober lalu, beberapa nelayan tempatan yang terlibat dalam pertengkaran dengan pihak berkuasa Singapura mendakwa dihamburkan kata-kata kesat dan penghinaan oleh pihak berkuasa Singapura.
Seorang nelayan, Syamsul Raihan Mohd. Noor, 40, mendakwa, antara kata-kata kesat yang dilemparkan anggota penguatkuasa terbabit termasuklah panggilan ‘Melayu bodoh’.
“Jaring yang kita pasang memang dalam perairan Malaysia, tetapi faktor arus menyebabkan kita tidak dapat pastikan ia hanyut ke mana, mungkin kekal dalam perairan Malaysia atau mungkin masuk sedikit ke perairan Singapura.
“Dalam pukul 5.30 petang, mereka datang, minta kad pengenalan dan beritahu kita sudah memasuki perairan Singapura. Apa yang saya kesalkan adalah sikap seorang anggotanya yang bertindak mengeluarkan kata-kata kesat.
“Masalah itu tidak akan berpanjangan sekiranya pegawai terbabit bertindak lebih profesional ketika menjalankan tugasnya. Saya menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun, sepanjang tempoh itu tidak pernah saya memasuki perairan Singapura,” jelasnya.
Seorang lagi nelayan, Faizan Wahid, 41, pula memberitahu, pihaknya berasa kesal kerana dilayan seolah-olah tidak mempunyai harga diri hanya kerana memilih nelayan sebagai satu karier dalam mencari rezeki.
“Mana boleh begitu, memang kita ini nelayan tetapi kita mana ada masuk tempat dia, lepas itu marah-marah cakap otak macam udang. Siapa yang tak marah. Kita ini nelayan, ini rezeki kita.
“Punca pertengkaran itu adalah sikap mereka yang tidak baik,” jelasnya lanjut.
Terdahulu, tular dua video berdurasi dua minit dan 43 saat di media sosial yang menyaksikan nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura. Video berkenaan menyebabkan warganet marah dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas atas kejadian itu.
Sementara itu, Pandak turut mencadangkan agar pembinaan Hospital Sultan Aminah (HSA) 2 yang sehingga kini masih tertangguh ekoran beberapa perkara terutama isu tanah dipindahkan ke kawasan Kota Iskandar.
“Ibarat besar tapak tangan, nyiru Kota Iskandar tadahkan. Malah, saya ingin memaklumkan bahawa isu lokasi bukan suatu masalah kerana pihak UEM Sunrise telah mengenal pasti dan bersetuju menyediakan tapak seluas lebih empat hektar untuk didirikan dengan sebuah hospital.
“Kota Iskandar berharap Menteri Kesihatan baharu yang diberi amanah menjaga aspek kesihatan rakyat akan dapat menyelami keperluan ini kerana Klinik Kesihatan Gelang Patah sudah tidak menelefon kriteria semasa,” jelasnya.
Penggerak Daily