ISKANDAR PUTERI: Johor akan memperuntukkan sejumlah RM10.8 juta bagi pelaksanaan projek perintis komuniti ‘Bangsa Johor Bahagia’ yang dilaksanakan di perumahan Pangsapuri Kangkar Pulai, dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan diilhamkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Katanya, ia sebagai bukti keprihatinan keluarga Diraja Johor kepada kesejahteraan dan kebajikan masyarakat negeri ini.
“Sebanyak RM8.8 juta diperuntuk bagi kerja mengecat semula blok Kenari dan Jentayu; RM1 juta untuk dewan komuniti terbuka; RM600,000 untuk kawasan pejalan kaki; RM200,000 untuk perpustakaan berkonsepkan kontena berkuasa solar yang pertama di kawasan perumahan PPR di Malaysia dan lagi RM200,000 untuk tapak meletak kenderaan.
“Pelaksanaan program ini akan memanfaatkan seramai 6,000 penduduk yang menetap di empat blok kediaman pangsapuri berkenaan,” katanya selepas melakukan lawatan di kediaman berkenaan, di sini hari ini.
Tambahnya, antara program yang akan diadakan termasuklah Kebun Komuniti; Pusat Pengumpulan Bahan Buangan Kitar Semula ‘Sisa Segak’; Galeri Komuniti serta Pondok Wakaf Komuniti Bangsa Johor Bahagia.
“Program ini akan dapat meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar dimana ianya boleh diterjemah di kawasan lain seluruh Johor pada masa depan.
“Semoga ini menjadi titik permulaan dalam membangunkan lagi komuniti perumahan di Johor secara lebih mampan, demi terus menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat Johor pada masa akan datang,” ujarnya.
Program itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad.
Penggerak Daily