JOHOR BAHRU: Sektor kesihatan negeri ini akan terus dipasarkan sebagai satu produk pelancongan melalui sektor pelancongan kesihatan khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sehubungan itu berkata, antara pasaran luar yang telah menunjukkan minat tinggi terhadap sektor kesihatan negeri ini adalah Kepulauan Riau, Indonesia.
“Saya baharu pulang dari lawatan kerja ke Kepulauan Riau. Sepanjang lawatan itu, saya terima maklum balas positif berhubung sektor kesihatan negeri kita.
“Mereka minta kita pertimbangkan kerjasama antara kepulauan Riau dan Johor supaya mutu kesihatan di Riau dapat dipertingkatkan,” katanya ketika berucap semasa menyempurnakan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Kompleks Sukan, Hospital Permai Johor Bahru, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.
Sementara itu, Tian Soon pula memberitahu, sektor pelancongan kesihatan telah menyumbang sebanyak RM143 juta bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Johor pada tahun 2023.
“Kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pemain industri kesihatan swasta di negeri ini untuk meningkatkan lagi angka berkenaan pada tahun ini dan tahun akan datang khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
“Hospital swasta di negeri ini juga telah melakukan pelbagai pelaburan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka kepada pesakit termasuklah menambah katil dan wad mereka untuk menempatkan lebih ramai pesakit,” ujarnya.
Dalam program berkenaan, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada Persatuan Jururawat Johor untuk kegunaan persatuan berkenaan.
Penggerak Daily