JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited untuk mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di Johor melalui jenama Majestic Johor dengan menyertai pameran pelancongan antarabangsa iaitu World Travel Market London 2022 di London.
Tourism Johor dalam satu kenyataan memberitahu, inisiatif berkenaan adalah langkah proaktif yang diambil untuk mempromosikan keunikan destinasi pelancongan serta kepelbagaian seni budaya negeri ini di pasaran Eropah.
Menurut kenyataan tersebut, pameran berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 7 November lalu di Excel Exhibition Center, London.
“World Travel Market yang melibatkan penyertaan lebih 100 buah negara dan organisasi seluruh dunia merupakan platform terbaik dalam mengetengah, mempromosi serta membuka peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan yang ditawarkan di Johor.
“Antara fokus pelancongan yang akan diperkenalkan termasuklah pelancongan pulau, produk eko pelancongan serta seni warisan dan budaya masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Tourism Johor lagi, kerajaan negeri turut membawa beberapa agensi serta pemain industri bagi meluaskan rangkaian promosi dua hala antara penggiat pelancongan Eropah.
“Antara yang terlibat termasuklah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Perbadanan Taman Negara Johor, Anantara Desaru Coast Resort dan Villa, Rawa Island Resort serta beberapa pengusaha produk pelancongan negeri Johor.
“Misi ini perlu dilihat sebagai inisiatif yang memberi impak agar promosi diperluas dan diperhebat secara agresif dengan memperlihatkan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan utama dan eksklusif bagi pasaran Eropah.
“Inisiatif ini secara tidak langsung turut menjenama lagi nama Johor selaku destinasi pelancongan pilihan warga dunia,” jelas pihaknya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook, Instagram dan laman sesawang Tourism Johor.
Penggerak Daily