Oleh: Editorial Penggerak Daily
Kerajaan Johor dalam perancangan memperluaskan kaedah skim sewa beli bagi melancarkan proses pinjaman perumahan bagi semua jenis kediaman termasuk berharga RM300,000 ke atas di negeri ini.
Sekiranya perbincangan berjalan lancar, kaedah itu dijangka akan dilaksanakan tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil.
“Dari segi pembiayaan yang menjadi masalah ialah setengah daripada pembeli tidak mampu dapat pembiayaan dari bank.
“Jadi kerajaan negeri sedang mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembeli dapat pembiayaan antaranya kaedah melalui sewa beli, yang sedang dibincangkan dengan dua institusi kewangan”, katanya selepas Majlis Pengundian Terbuka bagi 46 unit Rumah Mampu Biaya A, B dan C Taman Lagenda, Labis, hari ini.
Tambah Ayub lagi, kaedah itu dijangka dapat membantu pembeli sekali gus meringankan beban pemaju yang terpaksa menanggung kos disebabkan kelewatan penjualan rumah.
“Kaedah itu tidak perlukan duit pendahuluan sehingga RM30,000 hingga RM40,000. Contohnya, kalau skim biasa rumah berharga RM250,000 pembeli perlu sedia hampir RM30,000 tetapi skim sewa beli ini, pembeli hanya perlu sediakan RM6,000 dan dapat kunci.
“Selepas lima tahun kalau rekod kewangan baik, pihak bank buat perjanjian, pembeli akan memiliki rumah selepas lima tahun tempoh sewa,” katanya.
PenggerakDaily
Sumber: Metro Online