Categories
Berita

JOHOR RANGKA ENAM PELAN TUJU NEGERI MODEN

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri bakal merangka pelan hala tuju melibatkan enam teras utama dalam usaha menjadi sebuah negeri maju yang tidak hanya memberi penekanan terhadap aspek ekonomi semata-mata tetapi bersifat holistik.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu akan diperhalusi menerusi satu program pemukiman yang akan dijalankan kepimpinan tertinggi Johor bermula pada 26 hingga 28 Mei ini.

Katanya, enam teras itu termasuklah pentadbiran kerajaan yang baik; ekonomi fasa endemik; jaringan keselamatan sosial; keperluan dan kemudahan asas serta kebersihan dan keselamatan.

“Selaku Menteri Besar, saya mempunyai misi dan visi untuk melihat Johor menjadi sebuah negeri yang maju, bukan sahaja dalam aspek ekonomi penduduknya tetapi membangunkannya negeri ini dalam pelbagai aspek secara holistik.

“Aspek berkenaan termasuklah infrastruktur, mentaliti dan jati diri, ilmu pengetahuan, peradaban dan juga tatasusila masyarakatnya, itu visi saya dalam membangunkannya Johor sebagai sebuah negeri yang moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini semalam. Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan Ketua Bahagian berkenaan.

Tambah Onn Hafiz lagi, pihaknya juga akan memberikan penekanan terhadap isu dan keperluan dihadapi golongan muda di negeri ini kerana menyedari golongan berkenaan adalah golongan majoriti dengan peratusan melebihi 50 peratus daripada keseluruhan 3.6 juta penduduk.

“Selain daripada itu, perlu difahamkan mengapa tumpuan ketika ini lebih banyak terarah ke pembangunan sekitar Johor Bahru, hal itu kerana 1.8 juta daripada 3.6 juta penduduk negeri ini menetap di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut komited memastikan momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu diteruskan sehingga negara berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagi memastikan hasrat membangunkan negeri tercapai, kerajaannya perlulah selari dengan pentadbiran di peringkat pusat dan untuk itu, BN perlu menang dalam PRU akan datang, dalam politik ‘nothing is impossible’.

“Saya setuju dengan pendapat bahawa momentum yang ada ketika ini, ‘feel good factor’ yang dimiliki kerajaan ketika ini perlu diteruskan. Saya juga akan memastikan manifesto BN Johor dalam PRN lalu akan dilaksana,” jelasnya lanjut.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *