JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 25,213 mangsa ditempatkan di 187 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh Johor, setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding seramai 9,162 mangsa dengan 90 PPS dibuka, pukul 8 malam, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa terkini itu terdiri daripada sebanyak 7,013 buah keluarga.
“Kesemua 10 daerah di negeri ini telah terjejas akibat banjir dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa adalah Segamat dengan seramai 7,272 mangsa.
“Ini diikuti daerah Kluang (5,426 mangsa); Batu Pahat (3,236 mangsa); Kota Tinggi (2,912 mangsa); Johor Bahru (2,096 mangsa); Muar (1,667 mangsa); Kulai (952 mangsa); Tangkak (930 mangsa); Mersing (472 mangsa) dan Pontian (250 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, sejak banjir melanda negeri ini malam kelmarin, seorang penduduk di Johor telah dilaporkan lemas iaitu K. Sarathkumar yang menetap di Kluang.
“Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) masih menunjukkan seluruh negeri ini berada di bawah amaran bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka berlaku.
“Sebanyak 17 sungai turut diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Segamat, Sungai Labis dan Sungai Lenik, Segamat; Sungai Tangkak, Sungai Kesang dan Sungai Senduk di Tangkak; Sungai Bekok di Batu Pahat dan Sungai Kahang di Kluang.
“Turut berada di paras bahaya ialah Sungai Sayong, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar di Kulai; Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Johor di Kota Tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, terdapat beberapa laluan yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan sahaja manakala dua laluan ditutup untuk semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kluang-Mersing dan Jalan Batu Pahat-Mersing,” ujarnya.
Penggerak Daily