JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor digugurkan daripada senarai barisan exco negeri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut beliau, ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin, dilantik sebagai exco baharu dengan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor.
“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan exco ini mampu memacu Johor ke arah lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan.
“Insya-Allah, saya bersama barisan exco ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” ujarnya.
Tambah Onn Hafiz yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor, beliau meminta komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan inisiatif menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily