ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntukkan sembilan yayasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dengan peruntukan bagi membantu kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, peruntukan itu berjumlah antara RM150,000 dan RM200,000.
“Bantuan yang disalurkan ini bertepatan dengan tujuan penubuhan yayasan berkenaan untuk memperkasa PBT bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.
“Semoga bantuan yang diberi ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang masih membelenggu kita hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, selain bantuan berkenaan, pihaknya turut berharap setiap PBT akan menyumbang satu peratus daripada hasil kutipan mereka kepada yayasan masing-masing.
“Langkah ini bertujuan untuk menggerakkan pelbagai usaha terutamanya bagi tujuan membasmi kemiskinan dalam masyarakat,” jelasnya.
Antara PBT terlibat termasuklah Yayasan Makmur Segamat, Yayasan Makmur Pengerang, Yayasan Makmur Kota Tinggi dan Yayasan Makmur Labis.
Penggerak Daily