JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited memastikan tenaga kerja tempatan mahir mencukupi untuk menjayakan pelaksanaan inisiatif ekonomi berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tenaga kerja mencukupi, memudahkan urusniaga dan kesalinghubungan yang baik antara perkara utama yang sedang diusahakan pihaknya.
“Menerusi inisiatif JS-SEZ, Johor berhasrat menjadi ‘The Next Shenzhen of Southeast Asia’. Mengambil kisah kejayaan bandar metropolis Shenzhen sebagai ‘role model’, Johor bersedia mentransformasikan negeri ini menjadi sebuah negeri yang setanding dengan kejayaan Shenzhen.
“Penyediaan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi buat rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhan, peningkatan pendapatan isi rumah, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, serta merapatkan jurang taraf hidup rakyat juga menjadi fokus utama,” katanya selepas menghadiri Forum Pelaburan JS-SEZ di Kuala Lumpur.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya turut berkongsi gerak kerja JS-SEZ yang kini dalam fasa akhir perbincangan dan dijangka akan dimuktamad pada September 2024.
“Berbekalkan keyakinan seperti kedudukan geografi Johor yang kukuh, infrastruktur meliputi pelabuhan, lapangan terbang dan jalan raya serta dasar mesra pelabur, saya yakin pembangunan JS-SEZ ini mampu direalisasikan,” jelasnya.
Terdahulu, beliau memberitahu JS-SEZ dijangka akan menyediakan sehingga 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran dan berkualiti tinggi untuk rakyat negeri dan negara ini.
Penggerak Daily