JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri membuat keputusan untuk menangguhkan sebarang penganjuran Majlis Sambutan Maulidur Rasul bermula 1 Disember ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kadi daerah mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha membendung penularan Covid-19, kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkan penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul.
“Langkah ini dibuat dengan mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di beberapa daerah dalam negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Setakat kelmarin, kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di Johor adalah sebanyak 1242 kes, dimana 990 kes iaitu 79.7 peratus telah pulih, manakala 230 kes sedang dirawat
Sementara itu, jumlah kluster aktif yang dilaporkan di negeri ini adalah 12, dengan yang terbaru Kluster Gemilang di Mukim Tebrau.
Situasi berkenaan menyebabkan kerajaan terpaksa mengaktifkan semula Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang sebagai Hospital Covid-19 secara rasmi bermula 25 November lalu.
Tambah beliau, sehubungan itu garis panduan yang dikeluarkan pihaknya berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran majlis sambutan itu pada 18 Oktober lalu turut ditangguh.
“Sementara itu, Ahli Jawatankuasa masjid dan surau juga diminta untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi di premis masing-masing secara lebih kerap.
“Manakala, individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak dan selsema dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily