Categories
Berita Budaya Kesihatan Lifestyle

JOHOR TELITI SEMULA SOP, KEBENARAN SOLAT BERJEMAAH

Johor akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) program dan aktiviti keagamaan di surau serta masjid jika kes pandemik koronavirus (Covid-19) terus meningkat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketika ini SOP sedia ada yang menetapkan satu pertiga kapasiti masjid dan surau bagi aktiviti termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat kekal sehingga pengumuman selanjutnya.

“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat jika trend jangkitan kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan seperti beberapa hari lalu.

“Ia penting bagi kita meneliti semula sama ada terdapat keperluan meminda semula SOP aktiviti keagamaan di surau dan masjid seluruh Johor bagi mengelakkan penularan berlaku kepada jemaah pula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mesra Prihatin Makmur Johor di Dataran Beringin Taman Beringin, Senai di sini hari ini.

Tosrin (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima dalam Program Mesra Prihatin Makmur Johor di Dataran Beringin, Taman Beringin, Senai, Johor Bahru hari ini.

Tosrin berkata, sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri Johor mengenai sama ada jika kaedah baharu SOP surau dan masjid yang dibuat akan dipersembahkan dahulu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Pihaknya juga meneliti semula status Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) jika penularan kes wabak Covid-19 terus mencatat peningkatan.

Kata beliau, pihaknya sedang meneliti rapat kes semasa Covid-19 seluruh negeri termasuk Kluster Bakawali di Johor Jaya.

Pada Khamis lalu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, seramai sembilan kontak rapat suami isteri yang mencetus Kluster Bakawali di Johor Jaya juga disahkan positif Covid-19 pada Rabu lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Semalam pula, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia berada di permulaan gelombang ketiga Covid-19 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus itu.

Johor membenarkan solat Jumaat, solat jemaah fardu lima waktu, solat Aidiladha serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau bermula, Jun lalu.

PenggerakDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *