JOHOR BAHRU: Johor bakal menerima 10,000 bekalan vaksin Covid-19 jenis CanSino minggu depan yang dikhususkan untuk penduduk di kawasan pedalaman termasuklah masyarakat orang asli di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, penerimaan vaksin jenis itu akan dapat merancak dan memperluas lagi proses pemberian vaksin di Johor.
Katanya, hal itu kerana vaksin berkenaan hanya melibatkan pemberian satu dos suntikan sahaja.
“Vaksin jenis ini dirancang untuk kegunaan masyarakat di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar untuk diakses termasuklah di kawasan perkampungan orang asli.
“Penerimaan vaksin ini juga akan memudahkan petugas barisan hadapan untuk memberi suntikan kepada individu yang sukar bergerak atau mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin dengan sendirinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat pelaksanaan Program Outreach Vaksin Covid-19 di Taman Perbadanan Islam Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.
Sementara itu, Hasni turut memaklumkan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’ di beberapa PPV negeri ini dilihat mampu mengatasi beberapa masalah yang dihadapi berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
“Jika sebelum ini terdapat masalah seperti belum menerima tarikh suntikan, ketiadaan bekalan, salah hari temujanji, namun dengan adanya pemberian secara walk-in semua perkara itu dapat diatasi.
“Pemberitahuan vaksin secara walk-in ini membolehkan mana-mana pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin, yang penting nama-nama mereka akan diperoleh untuk disemak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hasni turut mengulang komitmen kerajaan negeri untuk mempertingkat keupayaan dan kualiti perkhidmatan di hospital awam seluruh negeri.
Penggerak Daily