JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada golongan masyarakat yang terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa, termasuklah golongan orang kurang upaya (OKU).
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, setiap bantuan dan peruntukan dikeluarkan adalah berdasarkan keperluan semasa dan tidak bersikap memilih.
Katanya, antara inisiatif lain boleh dilakukan untuk memperkasa golongan OKU adalah dengan melibatkan mereka dalam pelbagai program berbentuk umum.
“Ketika ini masih terdapat stigma khususnya dalam golongan OKU, dan stigma berkenaan boleh diubah melalui beberapa kaedah melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Kaedah tersebut adalah ‘inclusivity’. Ini boleh dibuat melalui aktiviti pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Bulan Kesedaran Down Sindrom Sedunia 2020 di Pulai Springs Resort, di sini semalam.
Dalam program berkenaan, Hasni turut memaklumkan pemberian geran ‘one-off’ berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Sindrom Down Negeri Johor bagi kegunaan persatuan berkenaan dalam menganjurkan aktiviti mereka.
Tambah Hasni, usaha melibatkan golongan OKU dalam masyarakat umum perlu terus diperkukuh agar mereka tidak disisihkan masyarakat normal, sebaliknya menerima layanan sama rata.
Penggerak Daily